layout

Monday, June 18, 2012

bakal imam muda dan si pelacur


Dia baharu sahaja tiba dari kampung. Dia masih tidak betah dengan jalan di kota metropolitan, Kuala Lumpur.

Beg berwarna hitam itu dijinjing sambil kaki melangkah pantas. Dia sedang melintasi kawasan ‘hitam’ dalam pemetaan polis. Tadi, seorang pegawai polis telah menasihatinya agar tidak berjalan sendirian di kawasan yang gelap. Silap hari bulan, parang bertemu leher, kepala berpisah dari badan.

Dia merenung jam di tangannya, lewat 2 jam dari sepatutnya. Menurut perancangan awal, dia sepatutnya tiba di Kuala Lumpur awal jam 9 malam. Namun, disebabkan bas tersadai lama di lebuhraya Juru, segala perancangan punah. Musnah.

Hanya dia seorang yang duduk di hentian bas, terletak berhadapan Central Market. Kawasan itu sunyi sepi. Sesekali kelihatan teksi lalu, sesekali sekumpulan mat motor melintas laju. Segera di capai pemain mp3, lalu dialunkan lagu-lagu berentak perlahan. Dia mahu tenang dari segala ketakutan. Matanya dipejamkan.

Tenang. Tenang.

“Mau service?” Sapa satu suara lembut.

Usamah tersentak. Dia langsung menoleh ke arah suara itu. Seorang perempuan berkemban, skirt pendek berwarna merah pekat, duduk di sebelahnya.

“Mau service? I layan you free je tapi you kena tanggung sewa hotel. ” Gadis itu senyum, menampakkan giginya yang tersusun rapi.

Usamah bukan budak kampungan bodoh yang tidak mengerti. Dia segera faham.

“Maaf.” Usamah mengangkat tangan seraya menolak pelawaan gadis tinggi lampai itu.

“Marilah. Sekejap saja.” Perempuan itu melabuhkan tangannya di dada Usamah, tangan itu mengusap-usap dada tegap Usamah.

Iman segera cair tatkala dadanya disentuh. Rasa berahi menguasai diri. Hanya lelaki bodoh sahaja yang menolak pelawaan perempuan itu.

“Maaf, nanti Allah marah.” Usamah melemparkan senyuman.



Usamah mengingatkan diri dan tujuan dia berkelana ke Kuala Lumpur. Dia menganjakkan punggungnya beberapa langkah dari pelacur muda itu.

“Its okey. Engkau yang tak nak. Orang dah offer free. Bodoh. ” Perempuan muda itu mengangkat bahu.

Dia mengalah.

Walhal , dia terlalu dambakan belaian lelaki. Bukan kerana dirinya tidak laku, tetapi dia mahu rasakan penangan lelaki muda yang belum pernah dikenalinya.

Mereka berdua tidak lagi berbual.

“Engkau nama apa?” Perempuan itu bertanya dengan nada dingin.

“Usamah.”

“Aku Jane.” Balas perempuan itu tanpa diminta.

“Jane?”

“Aah, nama betul Jannah. Tapi, panggil aku Jane.”

“Syurga….” Usamah tersenyum lagi.

“Apa?”

“Takde, maksud nama Jannah, syurga…” Usamah ikhlas mengungkapkannya.

Jane tunduk malu. Pertama kali namanya dipuji.

“Engkau nak tahu?” Jane mengangkat wajahnya.

“Tahu apa?”

“Aku percaya kepada qada dan qadar.”

“Bagus, itu tandanya engkau beriman.”

“Dan aku percaya bahawa seluruh hidupku telah ditakdirkan untuk menjadi begini.”

Usamah langsung terdiam.

Antara salah faham tentang akidah yang bertapak dalam jiwa ummat Islam.

Usamah duduk diam, memikirkan jawapan balas. Ia perlu nasihat. Bukankah agama itu adalah nasihat?

“Engkau percaya tuhan?” Usamah menyoal.

“Tidak.” Jane menggeleng laju. “Dulu, seumur hidup telah kuserahkan pada Tuhan. Tapi ini balasan tuhan?”

Usamah terdiam. Ini bukan balasan Allah, tetapi ini adalah ujian. Bukankah Allah telah berfirman,”apakah mereka menyangka mereka telah beriman, padahal mereka belum diuji?” Getus hatinya sendiri.

Usamah merasakan ia sudah terlalu berat untuk menjelaskan kepada Jannah. Usamah tidak berani mengungkapkan hujah. Ia di luar bidang ilmunya.

Takut mengungkapkan sesuatu yang akan menjadi hujah antaranya dengan Allah.

Mereka diam. Langsung mati akal untuk berbual.

Diam.

Diam.

Sesekali kereta melintas.

Diam.
Suasana sunyi.

Sepi.

“Nah.” Usamah menghulurkan senaskhah Al Quran beserta terjemahan.

“Tapi aku tidak berwudhuk.” Jane cuba menolak.

“Engkau bukan berhadas besar?”

“Sudah tentu. Apa engkau fikir aku jahil tentang agama? Aku juga tahu mandi hadas besar!” jane menengking. Jiwanya agak terkesan dengan sikap Usamah yang memandang rendah dirinya.

Walhal, Usamah hanya mengambil sikap berjaga-jaga.

“Maaf..” Usamah membalas perlahan.”Ini adalah Quran beserta terjemahan. Guruku yang hadiahkan padaku.”

“Jadi?”

“Aku hadiahkan pada kau.” Usamah senyum.

Jane terkejut, ,matanya terbeliak.

Tangannya mencapai Quran berwarna oren kemerahan itu. “Thanks.” Lembut dia bersuara.

“Dan ini juga.” Usamah menghulurkan lagi. Sebuah buku berwarna hitam. Di muka depan buku itu ada lukisan mawar merah yang sangat cantik. Menyejukkan mata sesiapa saja yang memandangnya.

“Apa ini?” Jane menyoal. Kenapa nak bagi banyak-banyak ni? Hati Jane bertanya.

“ Ia dihadiahkan sendiri oleh penulisnya, Dr Aidh Al Qarni kepadaku. Buku ini hanya ada 10 buah sahaja di dunia. Cetakan terhad. Khusus untuk anak didiknya sahaja.” Usamah diam seketika, lalu menyambung.

“Sudah tertulis bahawa ia akan menjadi milikmu, maka aku hadiahkan untukmu.” Usamah ikhlas.


Keikhlasan itu jelas terpancar pada riak wajah Usamah, membuatkan Jane rasa sebak. Terharu. Sesuatu perasaan yang tak pernah dirasakan.
Buku itu pun, bukanlah mahal pun kos penerbitannya. Dibandingkan dengan intan berlian dan emas permata yang dihadiahkan oleh lelaki hidung belang yang pernah menidurinya dulu. Tetapi hadiah senaskhah Quran dan buku kepada seorang pelacur kelas atasan sepertinya melahirkan suatu rasa dalam hatinya.
Suasana kembali senyap. Tiada modal untuk bersembang.

“Enta Usamah?” Tiba-tiba seorang lelaki menyapa dari belakang.

“Ya, enta dari BISKORA ke?”

“Ya, ana Redhuan dari BISKORA. Ayuh, kereta ana di parkir. Maafkan ana kerana lambat.”

Usamah mencapai beg hitam sambil berjalan beriringan bersama lelaki yang baru dikenalinya.

Usamah bermusafir ke Kuala Lumpur, semata-mata untuk menghadiri program Pembentukan Muslim Sejati sebagai fasilitator jemputan. Program itu dianjurkan oleh BISKORA, khusus untuk warga daerah Kota Raja.

Jane hanya memerhatikan sahaja dua orang lelaki itu berlalu. Meninggalkan dia keseorangan di hentian bas yang terletak berhadapan dengan Pasar Seni. Jane mula mengangkat kaki mahu berlalu dari situ.

Usamah segera menutup pintu kereta, namun dia teringat akan sesuatu. Dia bergegas menuju ke arah Jane.

“Jannah, sebentar.” Laungnya dari belakang.

Jane menoleh, dan tercegat tempatnya.

“Ada apa?”

“Tiada apa-apa.” Usamah sedikit termengah. Penat berlari-lari anak. Dia mengambil beberapa saat untuk kembali bernafas dengan tenang.

“Semoga Allah sayang kita berdua.” Lafaz Usamah dengan kilauan mata yang bersinar.

“Banyakkan mengingati Allah, maka Dia akan mengingati engkau sepuluh kali lebih baik.” Usamah menyambung.

Usamah berlalu terus kerana Redhuan telah lama menantinya di dalam kereta. Kereta itu terus bergerak menuju ke destinasinya.

Sementelah, ekor mata Jane menemani kereta itu. Yang di dalamnya ada seorang pemuda, yang telah mengetuk pintu hatinya untuk mula kembali.

Kembali kepada Allah, pemilik sekalian alam.


No comments:

Post a Comment