layout

Sunday, March 13, 2011

Hari-hari terakhir-2

Tempoh sebulan lebih itu sudah hampir berakhir sebenarnya. Boleh dikatakan, hari-hari ini adalah ibarat hari-hari terakhir untuk aku dan Sara. Hari-hari terakhir sebelum kami berpisah, atau lebih tepat lagi, dipisahkan.
Memandangkan dia mengetahui umurnya semakin pendek, maka Sara meminta kepadaku agar membawanya menunaikan umrah. Aku pantas menghubungi kawan baik ayah yang bernama Pakcik Kamaruzzaman, yang mempunyai sebuah syarikat bernama Syarikat Shahid Travel & Tour. Melalui Pakcik Kamaruzzaman, kami datang menunaikan umrah.

Sara kata, dia tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke dua tanah Haram, yakni Makkah dan Madinah. Kini, dia sudah menziarahi Madinah dan sekarang kami berada di Makkah, menghabiskan hari-hari terakhir pakej umrah dan ziarah kami.

Aku pula, semasa belajar di Jordan dahulu, sudah pernah melaksanakan umrah beberapa kali bersama persatuan pelajar arab, Iktilaf Islami.
Malam ini adalah malam terakhir kami di Masjidil Haram. Esok petang, kami akan bertolak pulang ke Malaysia.
“ Romantik la pulak kita ni bang, dalam Masjidil Haram ber’couple’” Sara bercanda.
Pembacaan Al-Quranku terhenti.

Aku tersenyum, dalam keadaan duduk bersama kaki melunjur, dan Sara sedang meletakkan kepalanya di pehaku. Kami sama-sama memandang Kaabah. Dahulu, ketika aku menunaikan umrah semasa di universiti, aku sering melihat beberapa pasangan suami isteri berbangsa arab duduk-duduk dalam keadaan seperti kami sekarang.

Aku masa itu, memang sudah menyimpan niat untuk membawa bakal isteriku, menunaikan umrah, dan duduk-duduk di dalam masjidil haram seperti pasangan-pasangan romantik yang kulihat itu. Tap tak sangka, aku dapat melaksanakan umrah dengan isteriku, duduk-duduk dalam keadaan romantik di dalam masjidil haram seperti yang aku hajatkan, namun, dalam keadaan kami melalui hari-hari terakhir kami.
Hatiku jadi sebak sendiri. Melalui hari-hari terakhir bersama Sara, membuatkan aku menjadi seorang yang lembut dan mudah terasa.

“ La, kenapa abang sedih? Sebab nak tinggalkan tempat ini esok ke?”
Sebab kita sudah hampir berpisah sayang… “ Em..” Yang keluar hanya itu.
“ Abang, nasyidlah satu lagu. Abang kan suka dengar nasyid”

“ Abang tak boleh bawa la lagu mirwana”
Sara tergelak. “ Mana boleh, lagu Mirwana tinggi-tinggi. Abang bawa la lagu yang slow-slow, rendah-rendah”
Aku memandang sekeliling, kawasan solat tempat aku dan Sara sedang duduk kosong. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Memang ketika ini tidak ramai orang.

“ The Zikr, Isteri Solehah”
“ Ok, shoot



Isteri cerdik yang solehah,
penyejuk mata,
penawar hati, penajam fikiran,
di rumah dia isteri, di jalanan kawan,
di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan
Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan
Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa rahmat bila bersamanya
Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Dengan suara yang teramat rendah lagi perlahan, aku nyanyikan nasyid lama itu. Sara memandang aku sahaja sepanjang nasyid itu kudendangkan. Bila aku selesai menyanyikan nasyid itu, aku seakan terserap ke ruanng vakum, suara-suara di sekeliling kami tidak lagi kedengaran menggetarkan gegendang telingaku. Mata Sara bertentang dengan mataku.
Tiba-tiba mata Sara bergenang.

“ Aiseh, sedap sampai nak menangis ke?”
“ Ish abang ni, orang terharu la” Dadaku ditolak.
Aku ketawa kecil. Mataku hangat sebenarnya, namun aku cuba untuk tidak mengalirkan air mata.

“ Sakeena lagu Outlandish lagi mendalam maksudnya”
“ Tapi rap dia complicated, saya susah nak faham”
“ Abang boleh buat slow motion punya”
“ Ini masjid la”
“ Dia yang suruh kita nasyid dulu”
“ Satu lagu je, nak rehat-rehat”
Kami ketawa sama-sama. Aku, kalau duduk dengan Sara, berapa jam pun boleh tahan. Aku tidak kisah. Duduk bersamanya, macam duduk dalam syurga. Tidak kira, tempat sesejuk kutub utara, atau sepanas padang sahara, aku tetap akan rasa nyaman bila berada di sebelahnya.

“ Esok-esok, boleh ke kita sembang-sembang macam ini lagi bang?” Pertanyaan Sara ibarat jarum halus menusuk hati.
“ Kenapa sayang cakap begitu?”
“ Ya la, ini kan hari-hari terakhir saya”
Aku diam. Sara mula menutup mata. Aku tahu, dia sedih. Dan aku tahu, dia tidak sedih kerana dia yang hendak mati. Dia sedih, kerana meninggalkan aku seorang diri.

“ Setiap hari adalah hari-hari terakhir untuk manusia. Siapa tahu dia mati bila, siapa tahu dia hidup sampai bila” Aku cuba menenangkan Sara, tapi sebenarnya aku lebih cuba menenangkan diri sendiri dengan kata-kata itu.
“ Abang memang pandai berbicara ya” Mata Sara terbuka semula.
Aku tersengih. “ Sayang, sayang yakin tak yang ALLAH tu boleh buat apa sahaja?”

“ Yakin”
“ Abang juga begitu”
“ Abang berharap kepada kejaiban?”
Aku menggeleng. “ Abang mengharap kepada ALLAH, yang memegang segala perkara”
“ Tapi, segala perkara tu bergerak atas sunnatullah bang, dan maut itu tidak boleh dielak”
“ Tapi siapa kata maut sayang sudah semakin hampir?”
“ Doktor pakar”
“ Bukan ALLAH kan?”
Sara senyap. “ Tapi, mustahil kan? Abang pun dah tengok result X-ray saya, dan keputusan pembedahan tempoh hari.”

Aku tersenyum kelat. Memang. Aku sudah lihat, dan dari penglihatanku itu, memang Sara tiada harapan lagi.
“ Memang, tetapi salahkah abang untuk terus berharap?”
“ Saya takut abang kecewa sahaja”
Aku menggeleng. “ ALLAH tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. DIA sentiasa memberikan yang terbaik”

“ Abang harap, doa abang di sini makbul” Aku mengharap.
“ Baiklah, abang memang degil. Saya pun harap, doa saya makbul” Sara menjawab.
“ Sara doa apa? Untuk sembuh?” Aku menduga. Sara menggeleng.
“ Habis?”
“ Kan dah kata rahsia. Apa kata abang amin kan sahaja?” Sara selamba sahaja.

“ Amin” Aku di dalam hati berharap, agar apa pun permintaan Sara, ALLAH perkenankan.
“ Abang, Sara sayang, kasih, cintakan abang”
“ Aishiteimasu” Aku menjawab dalam bahasa jepun.
“ Tahu la terer cakap jepun, jangan lah jawab dalam bahasa tu. Apa la. Tak feeling langsung” Sara buat merajuk, dadaku ditumbuk lembut sekali.

“ Abang sangat sangat sangat sangat sayang, kasih, cintakan Sara, lebih dari diri abang sendiri”
Dan bibir Sara menguntum senyum.
“ Moga kita kekal bersama hingga ke syurga” Sara menyambung dengan kata berbentuk doa.
“ Amin”
Ya ALLAH, dengarkanlah, perkenankanlah!


****
Aku duduk dalam keadaan gusar. Nyalaan lampu bertulis KECEMASAN yang berada di atas pintu masih belum padam walaupun sudah hampir 3 jam berlalu. Dua tanganku bertemu, bergenggam dan dahiku menyentuh kedua tanganku itu.
“ Ya ALLAH, selamatkanlah Sara!”
Tadi semasa di rumah, tiba-tiba Sara menjerit-jerit sakit. Aku pantas membawanya ke hospital, ibu, ayah, bapa dan mak aku hubungi. Kami kini sedang sama-sama menanti.
“ Sabar, insyaALLAH ALLAH akan permudahkan” Bapa mertuaku, yang senang kugelar bapa menepuk-nepuk belakang tubuhku.

“ InsyaALLAH selamat” Ibuku pula menenangkan.
Kulihat ayahku membaca yasin, manakala mak mertuaku sibuk berdoa. Semua tenang sahaja, namun aku yang kegelisahan.

Di dalam hati, kalimah ALLAH sahaja yang aku ulang-ulang. Penuh berharap.
Tiba-tiba, lampu kecemasan itu terpadam.
Seorang doktor perempuan keluar. Dia adalah kenalanku, juga teman rapat isteriku, dan merupakan doktor pakar yang bertanggungjawab sebagai penjaga isteriku. Namanya Sharifah Nurul Hidayah.
“ Macam mana?” Aku bertanya dengan penuh keresahan. Ayah, ibu, bapa dan mak turut bangun bersamaku.
Sharifah Nurul Hidayah diam sebentar, menambah resah. Kemudian dia bertanya:

“ Suka anak lelaki atau perempuan?''
“ huh?” Resah gelisah terus hilang.
Sharifah Nurul Hidayah kemudiannya tersenyum.
“ Tahniah, Sara selamat melahirkan anak! kembar lelaki perempuan!”
Jantungku macam hendak tercabut.

“ Akak, jangan la buat lawak macam tu. Buat orang takut aja” Aku mengurut dada. Aku memanggil Sharifah Nurul Hidayah sebagai akak, memandangkan dia adalah senior aku dan Sara semasa di sekolah menengah.
Sharifah Nurul Hidayah tersenyum aja. “ Dah, pergi masuk, azan dan iqamahkan anaknya tu. Tapi jangan kacau Sara sangat, dia masih lemah”

Aku tersenyum. “ Siapa yang nak susahkan orang yang dia paling sayang dalam dunia?”
Sharifah Nurul Hidayah menggeleng kepala sahaja.
Aku masuk bersama ayah, ibu, bapa dan mak.
Sara menyambut kami dengan senyuman, walaupun senyumannya itu agak tawar kerana kepucatan.
“ Hadiah berganda” Dia angkat jari buat gaya peace.
Aku tersenyum. Terbaring lemah pun ada gaya nakal lagi.
Aku pantas mengambil anakku dan melaungkan azan di telinga kanan, kemudian iqamah di telinga kiri. Seorang lagi anakku, juga aku buat demikian. Gembira di dalam hati mencanak-canak. Kalimah alhamdulillah entah sudah masuk kali keberapa kuulang ucap.

“ Ini adalah hadiah, kerana percayakanNya” Sara bersuara.
Aku tersenyum dan mengangguk.
Selepas pulang dari masjidil haram, tiada apa-apa yang berlaku kepada Sara walaupun sudah berbulan-bulan berlalu. Malah, dia sudah tidak demam-demam, berat badannya kembali normal, dan dia sudah mula berselera makan. Dia sendiri kehairanan dengan keadaan dirinya.

Akhirnya, aku mengajaknya membuat pemeriksaan sekali lagi dengan doktor.
Keputusannya amat menakjubkan. Kanser hati yang dihidapi Sara sudah hilang. Malah, mengikut hasil pemeriksaan itu, Sara seakan-akan langsung tidak pernah menghadapi sakit kronik tersebut.
Kini, setahun setengah sudah berlalu, semenjak kepulangan kami dari Masjidil Haram. Sara terus sihat, malah mengandung dan melahirkan anak. ALLAH telah memakbulkan doa aku.

“ ALLAH dah makbulkan doa abang semasa di Tanah Haram dulu”
“ Tapi ALLAH tak makbulkan doa sayang hari itu”
Aku kehairanan. Kenapa? “ Apa pula yang sayang doa?”
“ Abang kena la cerita apa yang abang doa dulu”
Aku memandang ayah, ibu, bapa dan mak. Mereka nampak tertarik dengan perbualan kami.
“ Abang doa, biar sayang sembuh. Itu sahaja satu-satunya doa yang abang sebut semasa di Madinah dan Makkah, masa tawaf, masa sa’ie, masa minum zam-zam. Malah, masa abang tuang zam-zam pada sayang, abang sebut doa yang sama, iaitu minta sayang sembuh”

“ Alhamdulillah, doa kau dimakbulkan ALLAH” Mak mertuaku menepuk-nepuk belakang tubuhku.
“ Alhamdulillah mak. Semuanya kasih sayang ALLAH”
“ Tapi, apa yang kau doa sampai kau kata tak makbul Sara?” Ayahku bertanya. Aku juga hendak tahu. Dan aku yakin semua hendak tahu.
“ Saya doa, agar abang ni dapat isteri yang solehah, baik, caring, dan paling sesuai untuk jaga dia dalam kehidupan ni. Tapi saya tak dipanggil pergi pula, dan abang pun tak kahwin lain. Doa saya tak makbul la”
Aku senyap. MasyaALLAH…

Aku terus mendekati Sara yang terbaring di atas katil.
“ Sayang nak tahu tak satu perkara?”
Apa dia? Mata Sara berbicara. Tangan Sara kucapai. Kudekatkan dengan bibirku, kukucup penuh cinta.
“ ALLAH dah makbulkan doa sayang”
“ huh?”
“ Sayang la isteri yang solehah, baik, caring, dan paling sesuai untuk abang dalam kehidupan ini. Sebab itu mungkin, ALLAH tak tarik sayang daripada abang, dan abang memang dah niat dalam hati, kalau sayang ALLAH panggil pergi, abang tak akan kahwin lain lagi”

Mata Sara bergenang. Sama seperti aku. Ini tangisan gembira. Hilang sudah tangisan hiba yang sering tertumpah dahulu.
“ ALLAH hendak ajar kita sebenarnya, yang setiap hari itu adalah hari-hari terakhir kita. Maut sentiasa dekat dengan kita. Maka, bagaimana kita mengisi masa kita, maka bagaimana kita berusaha menghadapinya. Itu yang abang dapat dari ujian yang ALLAH berikan kepada kita” Aku memberikan pendapat dari apa yang aku lalui.
“ MasyaALLAH, Allahuakbar” Kudengar ayah, ibu, mak dan bapa memuji ALLAH SWT. “Dalam sungguh pengajaran yang terdapat dalam peristiwa kehidupan kita ini.” Ibuku menyambung.
Sara tersenyum.

“ Kita pergi Makkah Madinah lagi tak? Kali ini kita buat haji?”
Aku tersenyum.
“ Boleh. Bawa ayah, ibu, mak dan bapa sekali”
Ya ALLAH….

 ~~~~TAMAT~~~~

Terima kasih...^___________^

No comments:

Post a Comment