layout

Friday, March 11, 2011

Hari-hari terakhir-1

 
Perempuan turki itu cantik. Kulitnya bersih, bersama abayanya yang putih, dia kelihatan seperti bidadari. Lenggok sopan, bersama pakaian labuh menutup aurat menambah lagi aura kewanitaannya.
Aku sebenarnya sedang berbaring-baring di dalam Masjidil Haram, dalam keadaan mengiring ke kanan, menghadap Kaabah. 

Sebab itu boleh ternampak perempuan turki tadi. Tidak pula aku ekorinya dengan pandanganku. Cukup sekadar dia melintas di hadapanku. Secantik mana pun perempuan-perempuan yang ada di sini, tidak sekalipun menyentuh hatiku.
Bukan sekadar di sini, seindah mana pun perempuan-perempuan di dunia ini, secantik mana pun mereka, menarik perhatian tahap mana pun, masih belum dapat menandingi…
Suasana terus menjadi gelap secara tiba-tiba, sebelum kata hatiku dapat menghabiskan bicaranya. Bukan kerana aku tiba-tiba buta, bukan juga kerana tempat ini tiba-tiba terputus kuasa, tetapi mataku ditutup satu telapak tangan. Hangat, lembut, harum.

“ Abang tengok apa tu? Tak baik tengok perempuan lama-lama”
Satu suara mulus kedengaran.
Aku tersenyum. Terus aku memegang tangan lembut itu dengan sebelah tanganku. Tarik. Cahaya kembali mencium mataku.

“ Mana, ternampak sahaja. Perempuan turki tu lawa” Aku berbicara selamba.
“ Ya la, kita tak lawa” Ayat merajuk.
Aku terus memusingkan tubuhku, mengiring pula ke kiri. Seorang perempuan, bertelekung putih bersih, bersama wajah yang lembut bercahaya, dengan mata hitam bundar, sedang memuncungkan bibirnya memandang aku. Aku ketawa.

“ Tak baik muncung-muncung, nanti dapat anak gigi jongang baru tahu”
Muncungan mulut itu terus berubah menjadi senyuman manis, perempuan itu ketawa geli hati. Hati aku secara spontan menjadi lapang dengan senyuman dan tawa kecilnya.
“ Ada-ada aja abang ni” Dia menutup mulutnya.
Aku tersenyum.

“ Seindah mana pun perempuan-perempuan di dunia ini, secantik mana pun mereka, menarik perhatian tahap mana pun, masih belum dapat menandingi Sayang” Aku melengkapkan suara hatiku yanng terhenti tadi. Tapi kali ini dengan bicara, menghadap perempuan yang paling aku cinta di dalam hidup ini. Satu-satunya perempuan dalam hidup yang kupanggil ‘sayang’.
Perempuan itu senyap. Pipinya tiba-tiba merah. “ Betul ke?”
Aku mengangguk. “ Kalau tak percaya, belah la dada, ambil lah hati”

“ Mati la abang nanti” Perempuan itu menolak bahuku. “ Cinta dan sayang bukan boleh nampak”
Aku ketawa kecil. Seronok bercanda-canda dengan isteri tercinta.

“ Tapi, kalau abang hajat kepada perempuan lain, saya boleh carikan. Saya pun dah tak…”
Kata-katanya terhenti, bibirnya disentuh oleh jari telunjukku.

“ Kan dah janji tak mahu sebut fasal tu?”
Dia menundukkan wajah.

“ Maafkan saya”
Dari berbaring, aku duduk bersila. Lututku bertemu lututnya. Dia nampak sedih. Dan aku tahu dia memang sedih. Al-Quran di pangkuan perempuan itu kuambil dan kuletakkan di rak sebelah kami. Kemudian kupegang tangannya.

“ Sayang abang ada satu sahaja. Kalau hilang yang ini, abang tak akan cari ganti yang lain” Kudekatkan tangan itu ke dahiku. Cinta yang teramat sangat.
Aku dapat rasa tubuhnya terenjut-enjut. Dia sedang menahan tangis.

“ Mari balik hotel, jom” Aku mengajak. Mungkin di sana boleh menenangkannya.
Dia menggeleng. “ Saya nak habiskan masa di sini.”
Aku menghela nafas. Aku juga sebenarnya hendak terus di sini. Tiada yang lebih tenang dari tempat ini. Aku menyandarkan tubuhku pada tiang, duduk di sebelah isteriku, sama-sama memandang Kaabah.
Ya ALLAH…
****
Sudah masuk pusingan kelima. Tawafku bergerak lancar, walaupun ada waktunya pergerakanku diperlahankan dengan jemaah yang bertawaf secara berkumpulan. Namun selain isteriku yang bertawaf sambil memegang tanganku, aku tidak menghiraukan sesiapa.

Kalau di dalam mazhab Imam Asy-Syafie, menyentuh perempuan, walaupun isteri sendiri adalah membatalkan wudhu’. Tetapi, pendapat fuqaha’ yang lain seperti Imam Malik menyatakan bahawa, menyentuh perempuan tanpa shahwat adalah tidak membatalkan wudhu’, walaupun perempuan itu bukan isteri kita. Tapi, menyentuh perempuan yang bukan mahram kita secara sengaja adalah berdosa.
Pendapat fuqaha’ lain itulah yang digunakan di dalam kes jemaah ke tempat padat dengan manusia serta bercampur lelaki perempuan seperti di Masjidil Haram.

Untuk aku pula, aku tidak mengaplikasi pendapat menyentuh perempuan tanpa shahwat tidak membatalkan wudhu’ di masjidil haram sahaja. Aku menggunakan pendapat itu di dalam seluruh kehidupanku. Sebab itu, bila aku menyentuh isteriku, aku tidak mengambil wudhu’ku semula. Apa yang aku pelajari di dalam mata pelajaran pembandingan mazhab semasa di universiti dahulu, dan juga di tempat-tempat talaqqi, sememangnya menyatakan pendapat menyentuh perempuan tidak membatalkan wudhu’ adalah pendapat yang lebih rajih.
Sebaik sahaja aku melalui rukun yamani, aku mengucapkan doa untuk kejayaan dunia dan akhirat serta meminta agar dijauhkan dari azab neraka berulang kali. Tidak lama kemudian, kedudukanku mula sejajar dengan Hajarul Aswad.
Aku sekadar melambai sahaja sambil mengucapkan “ Bismillahi Allahuakbar” dan terus memasuki pusingan yang keenam.
Aku terus berdoa, tenggelam dalam penyerahan diri hanya kepada ALLAH. Sepanjang tawafku, dari awal hingga kini, aku hanya berdoa dengan dua doa sahaja. Doa pertama aku ucapkan bermula dari hajarul aswad hingga ke rukun yamani. Doa kedua adalah doa meminta kebaikan di dunia dan akhirat, serta dijauhkan dari api neraka, dari rukun yamani ke hajarul aswad.
Semasa tawaf, tiada doa yang khusus yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW kecuali doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat serta meminta agar dijauhkan diri dari azab api neraka. Maka kita disunatkan untuk berdoa apa sahaja, dan berdoa sebanyak-banyak doa yang mungkin.
Tapi aku tidak mempelbagaikan doaku. Doa pertamaku itu kuulang-ulang.
Masuk pusingan yang ketujuh, aku menambah satu doa:

“ YA ALLAH, kalau KAU tak makbulkan doaku, siapa lagi yang hendak memakbulkan doaku ya ALLAH? Kalau KAU tak mendengar doaku, maka siapa lagi yang hendak mendengar doaku ya ALLAH? Kalau KAU membiarkan aku, maka siapa lagi yang hendak menjaga aku ya ALLAH? Kalau KAU berpaling daripadaku, maka siapalah yang hendak memandang aku ya ALLAH? KAU sahajalah tempat aku bergantung harap, maka perkenankanlah segala permintaan aku ya ALLAH!”
Doa itu menggantikan doa yang pertama, kuulang dan kuulang dalam tawaf terakhir ini. Kuulang dalam keadaan penuh hiba. Hati terasa seperti dicubit-cubit dengan kekerdilan diri. Bergetar jiwa menarik air mata untuk mengalir. Aku menangis sambil mengulang doaku itu. Penuh pengharapan dalam keadaan penuh ketundukan. Ya ALLAH, Ya ALLAH…

Tiba-tiba kurasa pegangan tangan Sara menjadi semakin erat. Kupandang isteriku itu. Dia juga sedang tunduk. Mulutnya terkumat kamit berdoa. Air matanya menitis-nitis. Kain telekungnya basah. Aku tambah hiba. Entah doa apa yang dia sedang ucapkan ketika itu, tetapi nampaknya keadaanya sama seperti aku. Penuh berharap.
Ya ALLAH, perkenankanlah permintaan kami!

Kami terus bergerak, dan menutup tawaf kami selepas melepasi Hajarul Aswad.
Aku membawa Sara ke kawasan solat di belakang Makam Ibrahim. Sememangnya, selepas tawaf, antara perkara yang sunat dilakukan adalah solat sunat dua rakaat di belakang makam ibrahim. Di situ kami solat sendirian, bukan secara jemaah.

Dalam sujud terakhir, aku minta bersungguh-sungguh agar doaku di dalam tawaf tadi dimakbulkan. Apabila aku mengangkat kepala, membaca tahiyyat dan memberikan salam, kudapati Sara masih belum bangkit dari sujud. Tubuhnya terenjut-enjut. Dia sedang menangis dengan penuh hiba nampaknya. Hati jadi rawan. Malam ini penuh dengan tangisan.

Aku memandang langit malam yang hitam pekat tanpa bintang. Sepanjang waktu berada di sini, memang aku dan Sara hanya bertawaf di waktu malam, kerana tidak tahan dengan bahang kepanasan di siang hari. Tambahan, ketika siang, manusia terlalu ramai. Aku hanya risaukan kesihatan Sara.
Sara bangkit dari sujud, duduk dan tidak lama kemudian memberikan salam. Aku yanng berada di sebelahnya, segera menyeka air mata.

“ Sayang doa apa sampai menangis-nangis ni?” Aku bertanya.
Sara menggeleng. “ Rahsia saya dengan DIA”
Aku tersenyum.

“ Abang pun, saya tengok masa tawaf macam dah tak ingat sesiapa aja, khusyuk benar berdoa sampai menangis-nangis. Abang doa apa?”

“ Biarlah rahsia” Aku membalas.
“ Ayo, tiru. Tak aci.” Sara bangun. Aku turut bangun dalam senyuman.
Destinasi seterusnya adalah tempat minum air zam-zam. Itu juga adalah antara sunat selepas melakukan tawaf. Tempat itu ramai orang. Aku tidak pernah membenarkan Sara pergi seorang diri. Akulah yang akan mengambilkan air untuknya. Dia hanya akan kusuruh duduk di tangga yang berdekatan menunggu.
Aku membawa dua cawan. Satu untuk aku, satu untuk Sara. Sara minum sambil menghadap Kaabah. Aku berdoa dahulu sebelum minum, doa yang sama seperti doa pertama dalam tawafku tadi. Tapi aku minum sedikit sahaja, kemudian aku ambil air itu, kutuangkan di atas kepala Sara. Terkejut isteriku itu.

“ Abang, abang buat apa ni?” Basah telekung Sara. Dia memegang kain telekungnya.
“ Katakanlah amin” Aku meminta.
Sara memandang aku penuh persoalan.
“ Katakanlah amin” Aku mengulang.
“ Amin” Sara mengucap kalimah penutup doa itu.
Kemudian aku duduk di sebelah Sara.
“ Kenapa buat macam itu bang? Habis basah telekung saya”
“ Beberapa minit lagi, kering la” Aku menjawab selamba. Memang, walaupun malam, Makkah tetap panas membahang. Suhu biasa ketika malam adalah 37 darjah celcius. Sebentar sahaja, telekung itu akan kembali kering.
Sara senyap tidak berbicara lagi. Dia merapati bahuku.

“ Abang fikir apa sebenarnya?”
“ Menunggu doa dimakbulkan”
Senyap. Kemudian kami senyap. Sama-sama memandang Kaabah yang berselimut kiswah hitam, dijahit padanya kaligrafi dari benang emas.
Ya ALLAH, perkenankanlah…

“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, maka ALLAH akan memberikannya jalan keluar, dan memberikannya rezeki dari arah yanng tidak disangka-sangka…” Surah At-Talq ayat 2-3.

 BERSAMBUNG~~~~~~

No comments:

Post a Comment